Wednesday, December 22, 2010

SEMBANG-SEMBANG...

Hayati akhlak mulia bebas masalah sosial

 
Kegagalan terap tatacara sedemikian umpama mengakibatkan kehancuran muka bumi


KEPERIBADIAN mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya kerana ia tidak dimusnahkan oleh ghibah (mengumpat) dan namimah (mengadu domba).

Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh serta mantap daripada segi sahsiah dan keperibadiannya adalah dengan menonjolkan akhlak mulia sejajar keperibadian Muslim sebenar seperti dipaparkan dalam al-Quran.
Tanpa apa-apa kepentingan di dunia, Baginda memimpin orang kanannya dengan keluhuran Islam, wahyu dan syura. Laba daripada inilah menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti, bukan kepentingan diri.
Umum maklum bukan mudah menyatupadukan banyak hati tetapi Rasulullah SAW melakukannya dengan mudah walaupun ada cabarannya melalui akhlak ditonjolkan Baginda sebagai pengajaran paling berkesan.

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Rasulullah SAW tahu akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa serta faktor pembinaan sesebuah tamadun. Inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW ke dunia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.” (Surah al-Ahzab, ayat 21) Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik.”

Satu cara terbaik membentuk akhlak mulia ialah pendidikan contoh teladan. Setiap individu haruslah memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga, suka membantu serta membimbing.

Antara aspek terpenting perlu diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran, tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak sebenar.

Rasulullah SAW mendidik sahabat bersifat benar dalam perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak ada sekelumit pun dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang atau melakukan sesuatu perbuatan yang mengundang kesusahan dan penderitaan kepada orang lain.

Hari ini, kebanyakan kepincangan urusan pentadbiran, hatta dalam institusi kekeluargaan sekalipun adalah disebabkan sikap ‘tidak benar’ yang menjadi taruhan demi kemenangan di dunia.

Sabar dalam semua keadaan perkara mudah tetapi sukar dilakukan jika hati tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk Rasulullah SAW dikagumi sahabat dan musuh yang bersama Baginda semasa hayatnya.

Kesabaran Rasulullah SAW sebenarnya yang menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda akhirnya dapat dinikmati seluruh Muslim hari ini. Menghadapi fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk, Baginda tetap bersabar.

Rasulullah SAW juga menanamkan sifat pemaaf dalam hati sahabat terhadap kesilapan dilakukan serta mudah bertolak ansur dan tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Allah SWT.

Namun, tidak dinafikan ada keadaan yang sukar untuk kita maafkan.
Rasulullah SAW tidak pernah melemahkan diri dengan menghukum orang lain atau tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal. Ketenangan Baginda menggambarkan peribadi baik dan personaliti yang disukai ramai.

Rasulullah SAW mendidik sahabat menurut tatacara akhlak ditentukan Allah dan itulah yang membentuk masyarakat Islam unggul sifatnya, beriman, bertakwa dan cenderung mencintai kebaikan. Kegagalan membentuk masyarakat berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini.

Justeru, dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad baru, keperluan pembentukan akhlak mulia semakin mendesak memandangkan masalah sosial yang timbul selari perkembangan ekonomi dan kemajuan dunia. Masyarakat dan bangsa memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredai Allah SWT.

(Dipetik dari Berita Harian 23.12.2010/AGAMA: Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...